PENERIMA Pingat Emas dalam acara lari pecut 100 meter lelaki Desmon Wong Tzyy Luen dari Sabah setelah mencatat masa 11.28 saat
CHELSEA Cassiopea Evali Bopulas yang mewakili Sabah, Malaysia johan bagi acara Larian 100 Meter (M) Wanita.
KONTINJEN dari Sabah (biru) mendominasi acara acara Larian 4 X 100M Lelaki dengan meraih pingat emas.
PELARI negara bagi acara acara Larian 4 X 100M Lelaki.
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Disember. - Pasukan Olahraga Kebangsaan Malaysia mendominasi pingat emas bagi sukan Olahraga pada Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Ke-10, 2018 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini, kelmarin.
Dalam acara Larian 100 Meter (M) Wanita, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas yang mewakili Sabah, Malaysia memenangi pingat emas dengan catatan masa 12.35 saat, diikuti dengan pingat perak yang disandang oleh Jessel D.Lumapas yang mewakili Palawan, Republik Filipin dengan catatan masa 12.65 saat dan Ruby Lee Jia Lu wakil dari Sarawak, Malaysia mendapat pingat gangsa dengan catatan masa 12.74 saat.
Sementara itu, bagi acara Larian 100M Lelaki, pingat emas diraih oleh Desmon Wong Tzyy Luen yang mewakili Sabah, Malaysia dengan catatan masaa 11.28 saat, disusuli dengan wakil dari Northern Territory, Australia, iaitu Evans Oteng yang mendapat pingat perak dengan catatan masa 11.35 saat dan pingat gangsa disandang oleh Dedy Kurniawan wakil dari Sulawesi Selatan, Republik Indonesia dengan catatan masa 11.42 saat.
Penyampaian pingat-pingat kepada para pemenang disempurnakan oleh Pengurus Pasukan Olahraga Sabah, Malaysia, Tuan Ali Aman.
Manakala, dalam acara Larian 400M Wanita, Jessel D.Lumapas yang mewakili Palawan, Republik Filipin berjaya meraih pingat emas dengan catatan masa 57.47 saat, diikuti pingat perak yang diraih oleh Nurulfadillah Mulyadi wakil dari Sulawesi Selatan, Republik Indonesia dengan catatan masa 1 minit 71 saat dan Puteri Nur Safirah Gajali dari Sabah, Malaysia mendapat pingat gangsa dengan catatan masa 1 minit 2.22 saat.
Bagi acara Larian 400M Lelaki, Jhon Llyod H. Cabalo yang mewakili Palawan, Republik Filipin memenangi pingat emas dengan catatan masa 50.14 saat, disusuli dengan wakil dari Sabah, Malaysia, iaitu Isaiah Ng Jian Lung yang mengutip pingat perak dengan catatan masa 50.97 saat dan Nurhidayat Yusuf wakil dari Sulawesi Selatan, Republik Indonesia mendapat pingat gangsa dengan catatan masa 51.29 saat.
Penyampaian pingat-pingat bagi acara Larian 400M Wanita dan Lelaki disempurnakan oleh Pesuruhjaya Sukan Filipina, Charles Raymond A. Maxey.
Sementara itu, dalam acara Larian 1,500M Wanita, pingat emas berjaya dimenangi oleh Fitri wakil dari Sulawesi Selatan, Republik Indonesia dengan catatan masa 4 minit 58.09 saat, diikuti dengan pingat perak yang diraih oleh wakil dari Sabah, Malaysia, iaitu Marlin Hing William dengan catatan masa 5 minit 12.08 saat dan wakil dari Sulawesi Selatan, Republik Indonesia, Dwi Dara Ningrum Wahid dengan catatan masa 5 minit 16.45 saat meraih pingat gangsa.
Penyampaian pingat-pingat bagi acara Larian 1,500M Wanita disempurnakan oleh Setiausaha Majlis Sukan BIMPNT-EAGA, Dr. Nukrawi Nawir MK.
Bagi acara Larian 1,500M Lelaki, Syamsuddin Masa wakil dari Sulawesi Selatan, Republik Indonesia berjaya mendapat pingat emas dengan catatan masa 4 minit 2.27 saat, diikuti dengan pingat perak dan pingat gangsa masing-masing disandang oleh wakil dari Palawan, Republik Filipina, iaitu Jhondee Vinson dan Gemphil Z. Gabriel dengan catatan masa 4 minit 8.11 saat dan 4 minit 11.11 saat.
Penyampaian pingat-pingat bagi acara Larian 1,500M Lelaki disempurnakan oleh Sekretaris Pemuda dan Olahraga Sulawesi Selatan, Ibu Suraidah.
Manakala, dalam acara Larian 4 X 100M Wanita, pingat emas dimenangi oleh pasukan Sabah, Malaysia dengan catatan masa 49.48 saat, disusuli dengan pasukan Sulawei Selatan, Republik Indonesia yang meraih pingat perak dengan catatan masa 50.79 saat dan pasukan Palawan, Republik Filipin dengan catatan 51.86 saat yang mendapat pingat gangsa.
Bagi acara Larian 4 X 100M Lelaki, pasukan Sabah, Malaysia sekali lagi mengungguli pingat emas dengan catatan masa 42.66 saat, diikuti dengan pingat perak yang disandang oleh pasukan Sulawesi Selatan, Republik Indonesia dengan catatan masa 43.71 saat dan pasukan Northern Territory, Australia meraih pingat gangsa dengan catatan masa 43.81 saat.
Penyampaian pingat-pingat bagi acara Larian 4 X 100M Wanita dan Lelaki disempurnakan oleh Chef de Mission, Sabah, Malaysia, Terrance Edward Pudin.
Sumber: Pelita Brunei Online