TIMBALAN Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri semasa menyampaikan pingat emas kepada Dayang Rodhyatul Adhwana binti Bakar dari Brunei Muara 'A' johan bagi kategori Wanita Perseorangan Kata.
TIMBALAN Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri semasa menyampaikan pingat perak kepada Pasukan Brunei Darussalam 'A' bagi kategori Wanita berpasukan Kata.
BERAKAS, Sabtu, 8 Disember. - Kontinjen Negara Brunei Darussalam berjaya menambah tiga lagi pingat setelah mempamerkan persembahan yang membanggakan dengan meraih pingat emas, perak dan gangsa pada acara Sukan Karatedo Sukan Persahabatan Kawasan Pertumbuhan Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina-Northern Territory (BIMPNT-EAGA) Ke-10, 2018.
Melalui Acara Kata Perseorangan Perempuan, Dayang Rodhyatul Adhwana binti Bakar yang mewakili Brunei Darussalam 'A' berjaya meraih pingat emas.
Kontinjen Brunei Darussalam 'A' juga berjaya meraih pingat perak melalui acara Kata Berpasukan Perempuan dan pada acara Kata Perseorangan Lelaki, pingat gangsa diraih oleh Ak Mohd. Azeem Aqmal bin Pengiran Omar mewakili Brunei Darussalam 'B'.
Hadir menyempurnakan penyampaian pingat-pingat pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Pengiran Indera Jaya bin Pengiran Haji Shamsu.
Pingat Emas bagi Acara Perseorangan Kata Lelaki dimenangi oleh Clevelence Carlos dari Sabah manakala pingat perak diraih oleh Gibran Atthariq dari Sulawesi Barat dan pingat gangsa dimenangi bersama oleh Muhammad Rafly Saputra dari Sulawesi Selatan dan Ak. Mohd Azeem Aqmal bin Pengiran Omar dari Brunei Darussalam 'B'.
Manakala dalam acara Kata Perseorangan Perempuan, pingat perak dimenangi oleh Rezky Dinda Amaliah Ichwan dari Sulawesi Selatan dan pingat gangsa diraih bersama oleh Sam Hiang Fong dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Vellcarollyne Agustine dari Sabah.
Sementara itu, dalam acara Kata Berpasukan Lelaki, pingat emas dimenangi oleh Sabah, pingat perak Sulawesi Selatan dan pingat gangsa dimenangi bersama ialah Mindanao, Filipina dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Bagi acara Kata Berpasukan Perempuan pula, Sulawasi Selatan berjaya meraih pingat emas, diikuti oleh Brunei Darussalam 'A' memenangi pingat perak dan pingat gangsa diraih bersama oleh Sabah dan Sarawak.
Sumber :
Pelita Brunei Online