Sign In
Mobirise Website Builder

Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam sekali lagi telah diberikan penghormatan untuk menganjurkan Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Ke-10, 2018 bermula pada 7 hingga 9 Disember 2018.  Sebelum ini, Negara Brunei Darussalam telah berjaya menganjurkan kejohanan yang sama iaitu Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-6 pada 28 hingga 30 November 2008.

 

Sukan Persahabatan ini adalah bertujuan untuk mengeratkan persahabatan di antara Ahli-Ahli BIMPNT-EAGA dan para atlet ke arah perpaduan, persefahaman dan kerjasama melalui penganjuran Sukan Persahabatan.

 

Pada tahun ini, sebanyak 13 kontinjen melalui wilayah masing-masing akan mewakili 5 negara Indonesia, Malaysia, Filipina, Northern Territory dan Negara Brunei Darussalam dalam menyertai kejohanan ini iaitu Brunei Darussalam 'A', Brunei Darussalam 'B', Sulawesi Selatan, Sulawesi Tengah, Sulawesi Barat, Kalimantan Utara, Kalimantan Timur, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Mindanao, Palawan dan Northern Territory.

 

Sebanyak 8 acara sukan akan dipertandingkan iaitu Akuatik, Boling Padang, Karatedo, Olahraga, Pencak Silat, Sepak Takraw, Taekwando dan Wushu.

 

Kejohanan Sukan Persahabatan ini akan dilaksanakan di 8 buah venue pertandingan seperti berikut:

 

BIL.ACARA SUKANVENUE PERTANDINGAN
1.AkuatikKolam Renang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah
2.Boling PadangPusat Boling Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah
3.KaratedoDewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah
4.OlahragaStadium Negara Hassanal Bolkiah
5.Pencak SilatPusat Belia, Bandar Seri Begawan
6.Sepak TakrawDewan Serbaguna Bolkiah Garison
7.TaekwandoKompleks Sukan Sungai Kebun
8.WushuStadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah

 

Sukan Persahabatan kali ini akan mempertemukan seramai lebih kurang 993 orang peserta, pegawai dan jurulatih dari 13 kontinjen yang ikut serta dan jumlah keseluruhan pingat yang akan menjadi rebutan adalah sebanyak 272 pingat iaitu 87 pingat emas, 87 pingat perak dan 98 pingat gangsa.


Sementara majlis-majlis rasmi dan aktiviti-aktiviti sampingan juga akan diadakan iaitu:

 

        i.    Majlis Menaikkan Bendera (Flag Hoisting Ceremony) akan diadakan pada hari Khamis, 6 Disember 2018 bertempat di Pedestrian Mall, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah bermula pukul 3.30 petang;

 

      ii.    Majlis Pembukaan Rasmi (Opening Ceremony) akan diadakan pada hari Jumaat, 7 Disember 2018 bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah bermula pukul 8.45 pagi;

 

     iii.    Majlis Penutupan Rasmi (Closing Ceremony) akan diadakan pada hari Ahad, 9 Disember 2018 bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah bermula pukul 3.00 petang;

 

     iv.    Perlawanan Golf VIP akan diadakan pada hari Jumaat, 7 Disember 2018 bertempat di Kelab Golf Pantai Mentiri. Manakala Perlawanan Badminton VIP akan diadakan pada hari Sabtu, 8 Disember 2018 di Dewan Serbaguna Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

 

Pihak penganjur mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk menyaksikan dan memberikan sokongan di kesemua perlawanan sukan sepanjang Sukan Persahabatan diadakan.

 

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Ke-10, orang ramai bolehlah melayari laman web rasmi kejohanan di www.bimpnt-eaga.gov.bn.

#   #   #

 

 

 

Disediakan oleh:

Urusetia Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Ke-10, 2018

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

13 Rabiulawal 1440H/21 November 2018


Attachments